Thursday, April 8, 2010

Siaran Pengetua 2010/1

Salam 1Malaysia, Salam 1SJM
Ada rakan-rakan SJM menanya bila Siaran Pengetua yang baru akan diterbitkan. Terima kasih kerana rinduan kepada terbitan ini.

Beberapa majlis besar seperti Sukan Terbuka 2010, Pengumuman Keputusan SPM 2009 dan Majlis Hari Anugerah Cemerlang/Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Tahun 2010 dan pelbagai pertandingan, kempen dan program sekolah telah lalu sebelum terbitan ini sampai ke tangan rakan-rakan. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan, kerjasama dan permuafakatan semua warga SJM atas segala kejayaan dalam aktiviti-aktiviti tersebut.

MUAFAKAT
Berkenaan kata kunci MUAFAKAT, saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan sedikit panduan untuk peningkatan profesional diri:
• M-Maujud. Erti dalam Bahasa Inggeris ialah ’concrete, real, tangible’. Perancangan perlu jelas dan berstrategik (bukan abstrak sangat). Panduan asas ialah SMART iaitu Specific, Measurable, Attainable, Rewarding*, Time frame.
• U-Ulas/ulang. Untuk membudayakan sesuatu amalan atau untuk menegaskan kepentingan sesuatu perkara, kita perlu mengulas dan mengulang untuk memastikan semua yang terlibat betul-betul memahami dan menghayati perkara berkenaan.
• A- Aksi (action). Perancangan akan tetap jadi perancangan jika tidak diterjemahkan kepada tindakan. Perancangan yang terbaik di dunia pun tidak akan menghasil jika tidak ada aksi. Dalam hal itu, kata-kata dan pelbagai seruan hanya menjadi cogan kata sahaja.
• F-Faham. Seperti di atas, tujuan ulas dan ulang adalah untuk memastikan kefahaman. Ada orang yang cepat faham; ada yang lambat faham; ada yang macam faham tetapi tak faham; ada yang macam tak faham tetapi faham; ada yang tak nak faham. Walau apa pun, perlu ada usaha supaya semua faham.
• A-Agih. Kerja-kerja perlu diagih-agihkan kepada ahli-ahli pasukan secara sistematik dan koheren. Sesuatu kerja yang perlu usahasama sepasukan orang jika ditanggung oleh ketua sendiri tidak akan menghasilkan kesan yang diharapkan. Walau bagaimanapun agihan tidak bermaksud dipindah bulat-bulat sehingga ketua tidak terlibat langsung. Begitu juga, ahli-ahli jangan anggap ketua sahaja yang perlu menanggung segala-gala kerja. Semua ini adalah resipi untuk kegagalan.
• K-Kerjasama. Cara mengagihkan kerja secara harmoni adalah melalui kerjasama. Cara kerjasama biasanya adalah lebih baik daripada arahan eksekutif. Kejelekitan ahli-ahli kumpulan menentukan kualiti kerja. Walau bagaimana pun, dalam masa-masa tertentu, arahan eksekutif masih diperlukan.
• A-Analisis. Amalan semalam mungkin tak sesuai lagi untuk hari ini. Amalan hari ini mungkin tak sesuai untuk hari esok. Kita perlu menganalisis situasi mengikut keperluan yang terkini dan mengambil langkah mengikut konteks yang terbaru.
• T-Tabah. Akhir sekali, dalam zaman yang berubah sebegitu cepat, kita perlu tabah untuk menghadapi gelombang perubahan. Kita perlu berani menghadapi pukulan ombak pembaharuan.
(*Berkenaan Rewarding, kita perlu jelas dan pastikan apa yang kita buat akan mendatangkan kesan yang lebih baik daripada sebelumnya.)

PRACTISE
Teori tetap menjadi teori; perancangan tetap menjadi perancangan kalau tidak ada aksi. Walau bagaimana pun, adalah lebih senang cakap daripada buat. Kita perlu persediaan minda untuk menghadapi gelombang perubahan dan pukulan ombak pembaharuan. Kita perlu latih, latih dan PRACTISE.
• P-Procedural information: Maklumat berkenaan pelbagai tindakan atau proses yang penting untuk sesuatu tugasan.
• R-Recalling skills: Kemahiran mengingat dan mengeluaran maklumat dari ingatan jangka panjang.
• A-Analysing skills – Kemahiran menjelaskan maklumat yang sedia ada dengan memeriksa bahagian-bahagian yang terlibat dan mencari hubung kaitan antara bahagian itu.
• C-Comprehending – Menjana makna dan kefahaman dengan mengaitkan maklumat baru dengan pengetahuan yang sedia ada.
• T-Thinking processes: Operasi kognitif yang agak kompleks dan mengambil masa. Perkara seperti penggubalan konsep, penyelesaian masalah dan sintesis menggunakan lebih daripada satu kemahiran berfikir.
• I-Integrating skills: Kemahiran teras yang melibatkan penghubung kaitan dan penggabungjalinan maklumat.
• S-Summarising: Menggabungkan maklumat dengan efisien menjadi satu pernyataan yang kohesif.
• E-Evaluating skills: Kemahiran berfikir teras yang melibatkan pentaksiran kesahihan dan kualiti idea-idea.

Anjak Ke Kanan
Dalam setting yang biasa, kita perlu mengakui bahawa kebolehan murid-murid adalah berlainan. Kalau dilihat dari aspek akademik, jika kita plotkan markah ujian murid dalam bentuk histogram, kita mungkin akan dapat bentuk yang berikut. Biasanya kes ekstrimiti, iaitu, terlalu lemah atau terlalu baik, tidak banyak. (Tidak boleh diaplikasikan kepada sekolah-sekolah seperti sekolah kawalan, sekolah berasrama penuh dan sekolah pendidikan khas.)

Bentuk histogram yang dihasilkan adalah dekat dengan satu graf normal. Keadaan ini akur dengan teori statistik taburan populasi dalam setting yang biasa. Faktor-faktor penyumbang kepada taburan normal termasuk genetik (baka), sosial, ekonomi. Namun demikian, sekolah sebagai sebuah institusi sosial yang mencabarkan perkembangan semulajadi melalui pelbagai program terancang, dilaksanakan oleh profesional yang terlatih, dengan perbelanjaan yang besar dan teknologi yang sesuai, dapat mengubahkan keadaan taburan menjadi seperti yang berikut – iaitu, satu anjakan ke kanan.
Mari kita bersama-sama berusaha untuk menjayakan proses anjakan ke kanan.

Sekian. Terima kasih.