Sunday, June 20, 2010

Peranan Guru Matematik Dalam Masyarakat



Baru-baru ini terdapat beberapa kekeliruan menginterpretasi ayat-ayat matematik. Kekeliruan ini yang barangkali berpunca daripada asas matematik yang tak kukuh, mempunyai implikasi yang sangat besar bukan setakat ringgit dan sen sahaja, malahan termasuk kos sosial dan politik. Isu yang terlibat ini adalah berkenaan takrifan sebenar ketaksamaan matematik. Oleh itu, guru matematik mempunyai peranan yang penting untuk memastikan anak-anak murid di bawah jagaan mereka betul-betul memahami ketaksamaan matematik (ada banyak perkara yang lain tetapi setakat artikel ini ‘ketaksamaan’ sudah mencukupi) supaya pada satu hari nanti apabila mereka menjadi hakim, peguam, ahli politik, menteri, pensyarah, ... mempunyai kefahaman yang sama dan betul.

Katakanlah undang-undang menyatakan bahawa seseorang yang membawa lebih daripada 5 gram sejenis dadah boleh dikenakan hukum mati, apakah nasib seorang yang ditangkap membawa 5 gram bahan itu? Kalau undang-undang menyatakan bahawa seorang ahli parlimen boleh hilang kerusinya jika dikenakan hukuman denda oleh mahkamah tak kurang daripada 2000 ringgit, apakah status seorang ahli parlimen yang dikenakan hukuman denda sebanyak betul-betul 2000 ringgit? Interpretasi ketaksamaan boleh menentukan hidup atau mati seseorang, jimat atau belanja berjuta-juta ringgit, belum lagi mengira kos sosial dan politik, antara yang lain.

Adakah interpretasi ketaksamaan dalam ayat undang-undang berlainan daripada interpretasi sains dan matematik? Setakat saya tahu, ayat matematik dan sains adalah tepat dan jelas. Minta maaf kalau saya silap kerana saya kurang arif dengan hal berkenaan undang-undang yang tulin. Saya hanya ingin kongsi sedikit pengetahuan saya berkenaan ketaksamaan dari aspek takrifan matematik yang saya percaya kebanyakan murid sekolah menengah yang cukup rajin sudah fasih dan biasa.

* Kurang daripada 2000 : Sebarang nombor yang kurang daripada 2000. Tak termasuk 2000 kerana 2000 tak kurang daripada 2000.
* Lebih daripada 2000 : Sebarang nombor yang lebih daripada 2000. Tak termasuk 2000 kerana 2000 tak lebih daripada 2000.
* Tak kurang daripada 2000 : Sebarang nombor yang lebih daripada 2000. Termasuk 2000 sendiri kerana 2000 adalah tak kurang daripada 2000.
* Tak lebih daripada 2000 : Sebarang nombor yang kurang daripada 2000. Termasuk 2000 sendiri kerana 2000 adalah tak lebih daripada 2000.

(2000, 2000 dan 2000. Harap anda tak 'complain' keliru, keliru dan keliru.)

Apa kata kalau adakan kursus untuk meningat kembali asas-asas selaras dengan pembelajaran sepanjang hayat? Saya hanya ’thinking allowed’ bukan dan tak berani nak menjadi jurulatih.

No comments:

Post a Comment