Saturday, January 23, 2010

SMK JALAN MENGKIBOL, KLUANG,JOHOR D.T.




AMALAN TERBAIK (BEST PRACTICES)
PENGURUSAN
SMK JALAN MENGKIBOL, KLUANG

Oleh

YEW KOK LEH
Pengetua Kanan
SMK JALAN MENGKIBOL, KLUANG, JOHOR D.T.
FEBRUARI 2009


1.0 PENGENALAN
Pembangunan modal insan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negara merupakan salah satu teras utama dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Kementerian Pelajaran Malaysia telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) untuk tujuan tersebut. PIPP menggariskan perancangan pelbagai strategi untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual dalam aspek sains, teknologi dan keusahawanan, bersikap progresif serta bernilai etika dan moral yang tinggi. Pembangunan modal insan secara holistik di peringkat sekolah tidak akan berlaku jika sekolah mengamalkan 'more of the same' sahaja tanpa merujuk kepada pelbagai perubahan yang berlaku dalam semua aspek. Artikel ini menggariskan beberapa ‘amalan terbaik’ yang dilakukan di SMK Jalan Mengkibol untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan di sekolah.

2.0 IMBASAN DAN ANALISIS
Untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan amalan pengurusan yang sedia ada di SMK Jalan Mengkibol, satu imbasan yang kritikal telah dibuat pada pertengahan tahun 2007. Kerangka Empat Tindakan BOS digunakan sebagai instrumen analisis dan membuat inovasi nilai dalam usaha meletakbetulkan dan merekaraya sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan di sekolah tersebut. Jadual berikut menunjukkan hasil analisis yang dilakukan.

Hapuskan (Eliminate)
- Persepsi 'sekolah sederhana'.
- Ulangan kerja disebabkan tidak mengongsi maklumat dan data yang sedia ada.
- Keadaan ketidakpastian disebabkan kekurangan maklumat.
- Amalan kerja tanpa tarikh tutup / tarikh siap : budaya 'Esok Lusa'.
- Program yang tidak mengambil kira keberkesanan kos dan objektif.
- Kongkongan mentaliti status quo.

Tingkatkan (Raise)
- Kemahiran mengurus dan pengupayaan.
- Keberkesanan sebaran maklumat.
- Semangat kekitaan dan cinta kepada sekolah.
- Kepimpinan dan ketrampilan murid.
- Keberkesanan program akademik.
- Kemahiran ICT dalam pengurusan perkhidmatan.
- Pengetahuan berkenaan dasar-dasar yang perlu dilaksanakan.
- Kesedaran hirarki jawatan dan amalan prosedur kerja yang betul.

Kurangkan (Reduce)
- Masa akses maklumat.
- Pencairan maklumat.
- Perancangan yang ad hoc.
- Kadar vandalisme.
- Gangguan waktu instruksional.
- Program-program kecemerlangan akademik yang tidak berdasarkan analisis data.
- Aduan melalui permuafakatan dengan masyarakat.

Ciptakan (Create)
- Kertas-kertas konsep penerangan.
- Watak sekolah.
- Prosedur Audit Akademik.
- Konsep Info SJM.
- Konsep 'Program Murid, Oleh Murid, Untuk Murid'.
- Amalan 'Mana-mana pun boleh'
- Konsep PASTI.
- Konsep 'Let The Manager Manage; The Manager Must Manage'.


Strategi yang dilaksanakan boleh diwakilkan dalam bentuk gambaran sebuah payung terjun. Sebuah payung terjun, tidak kira betapa tinggi mutunya, memerlukan suatu prosedur penggunaan yang baik untuk menjaminkan pengguna (penerjun) menuju ke sasaran yang ditetapkan dengan jitu dan selamat. Rajah berikut menunjukkan enam aspek yang dititikberatkan.




Enam Aspek Peningkatan Sistem Penyampaian Perkhidmatan

1. Info SJM
2. SJM Sekolah Pilihan Saya
3. Program Murid, Oleh Murid, Untuk Murid
4. Let The Manager Manage; The Manager Must Manage
5. Aplikasi Strategik ICT Dalam Pengurusan
6. Audit Akademik



3.0 ENAM ASPEK PENINGKATAN SISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
Jadual berikut memberi gambaran sepintas lalu enam aspek yang akan dibincangkan.

Aspek Keterangan Tujuan
Kelebihan
1. Info SJM Satu sistem pengurusan dan penyebaran maklumat dan dasar melalui taklimat, kertas konsep, siaran buletin dan paparan. • Maklumat dan dasar kerajaan dapat diturunkan dengan cepat dan tepat untuk dilaksanakan.
• Semua warga sekolah dapat gambaran yang lebih menyeluruh dan sedar kepentingan peranan mereka sebagai pelaksana dasar-dasar.

• Kurangkan ralat dan kos.
• Kurangkan keperluan mesyuarat kerap yang boleh mengganggu waktu instruksional.
2. SJM Sekolah Pilihan Saya Suasana sekolah yang kondusif supaya murid bergembira dan ibubapa yakin • Berasaskan konsep sekolah penyayang.
• Membina semangat kekitaan dan cinta kepada sekolah.
• Mengurangkan kadar vandalisme.
• Menjadikan suasana sekolah lebih kondusif.
• Kurangkan kos baikpulih.
• Tingkatkan suasana sekolah yang kondusif untuk melaksanakan proses pendidikan.
3. Program Murid,
Oleh Murid, Untuk Murid Satu amalan pembangunan modal insan berketrampilan
• Murid-murid diberi peluang untuk dilatih kerja berpasukan, pengurusan dan kepimpinan melalui pelbagai projek kokurikulum.
• Murid-murid beperluang menunjukkan bakat mereka.
• Peranan guru lebih kepada penasihat dan sokongan dari belakang.

• Kurangkan penglibatan terus guru dan gangguan instruksional.
• Tingkatkan kepimpinan murid.
• Tingkatkan peluang murid-murid menyalurkan tenaga mereka secara positif.

4. Let The Manager Manage; The Manager Must Manage Satu amalan ke arah pengurusan berkualiti, akauntabiliti dan meningkatkan pengupayaan
• Pengurus tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing.
• Proses pengupayaan (empowerment) membolehkan banyak aspek operasional dilaksanakan dengan cepat.
• Proses pemantauan lebih berkesan.
• Pelaksanaan tugas berasaskan perancangan strategik dan berkomitmen tinggi untuk mencapai matlamat.
• Mempercepat-kan proses pelaksanaan program.
• Meningkatkan akauntabiliti dan kualiti penyampaian.
• Mengurangkan kos.
• Menjadikan organisasi lebih sistematik dan berkesan.
5. Aplikasi Strategik ICT Dalam Pengurusan Satu rangkaian sistem mengaplikasi ICT yang lebih strategik untuk pengurusan pelbagai unit.
• Mengurangkan kerja ulangan atau tindihan.
• Perkongsian maklumat memberi gambaran yang lebih menyeluruh tentang status sekolah.
• Menpercepatkan pengumpulan maklumat dan data.
• Mempercepat-kan pemero-sesan data.
• Meningkatkan mutu data dan hasil analisis.
• Memudahkan perancangan berdasarkan data.


6. Audit Akademik
Satu sistem pengauditan prestasi akademik dan perancangan program akademik yang berpandukan analisis data ujian / peperiksaan • Perancangan program akademik yang lebih berfokus dengan bantuan sistem analisis peperiksaan dalaman berkomputer.
• Kumpulan murid seperti kes sempadan, sederhana, berprestasi tinggi dapat dikenalpasti untuk tindakan spesifik.
• Program Perfect Score untuk membentuk critical mass murid cemerlang untuk meningkatkan keputusan peperiksaan awam. • Meningkatkan akauntabiliti diri murid.
• Meningkatkan tanggung-jawab dan akauntabiliti panitia dan bidang masing-masing.
• Meningkatkan keberkesanan program kecemerlang-an akademik.


4.0 PENERANGAN LANJUTAN ENAM ASPEK

4.1 Info Sekolah -- Satu Sistem Penyebaran Maklumat
Pencairan maklumat dari pihak atasan (PPD, JPN atau KPM) akan berlaku di sekolah sekiranya mekanisma saluran maklumat tidak diperkukuhkan. Antara sebab utama ialah kekangan masa untuk mengaturkan mesyuarat atau sesi penerangan tanpa menjejaskan waktu instruksional dan waktu kokurikulum. Untuk mengatasi kekangan ini, pendekatan sebaran maklumat pelbagai penjuru seperti yang berikut dilaksanakan.

4.1.1 Kertas Kerja Terjemahan Dasar dan Taklimat Ringkas
Sesi-sesi taklimat khas diaturkan oleh ketua-ketua unit berkenaan untuk menerangkan dasar-dasar. Biasanya sesi ini mengambil masa lebih kurang 1 jam. Guru-guru sesi petang ditaklimatkan pada masa 12:00 - 1:00 tengah hari dan guru-guru sesi pagi diberi taklimat pada masa 2:00 - 3:00 petang pada hari yang sama supaya waktu instruksional tidak diganggu. Jika perlu nota-nota khas yang menterjemahkan dasar-dasar kepada tindakan sekolah disediakan. Sebagai contoh, nota berkenaan PIPP ditulis dalam konteks yang mudah dijalankan di sekolah untuk setiap dari enam teras strategik PIPP. Melalui kaedah ini, guru-guru dapat melaksanakan tugas dengan lebih yakin dan terarah mengikut matlamat yang perlu dicapai.
4.1.2 Amalan 'Mana-mana Pun Boleh'
Selain daripada sesi taklimat dan nota khas, guru-guru dan staf-staf sokongan mempunyai peluang untuk mendapat penjelasan lanjutan melalui amalan yang saya namakan 'Mana-mana Pun Boleh'. 'Mana-mana Pun Boleh' merupakan amalan di mana pihak pentadbir bergerak dan bertemu dengan guru-guru dan staf sokongan di mana-mana tempat yang sesuai untuk berinteraksi dan memaklumkan secara terus, dasar-dasar yang mereka perlu tahu dan tugas yang mereka perlu melaksanakan. Amalan ini membolehkan sebaran maklumat dan dasar dengan cepat, jitu dan boleh mendorong mereka untuk melaksanakan tugas dengan lebih serius, cekap dan berkesan kerana unsur humanistik dan sentuhan hati yang terlibat. (Mereka berasa segan jika tidak menjalankan tugas dengan baik kerana telah menganggap pemimpin mereka sebagai sahabat karib.)

4.1.3 Siaran Pengetua
Siaran Pengetua merupakan buletin yang dikeluarkan mengikut keperluan untuk tujuan penyebaran maklumat secara cepat tanpa sesi taklimat bersemuka. Buletin ini yang biasanya ditulis dalam satu atau dua muka surat akan diedarkan kepada semua guru dan staf sokongan di sekolah. Fungsinya adalah untuk memberi peringatan dan perhatian yang memerlukan tindakan yang cepat. Setiap keluaran Siaran Pengetua hanya memokus kepada beberapa (3-5) perkara dan ditulis dalam format yang tidak formal supaya tidak mendatangkan persepsi sebagai arahan pentadbiran.

4.1.4 Sistem Maklumat Akses Kendiri
Sistem paparan maklumat berpapan notis dikemaskinikan mengikut lokasi yang dinamakan Laluan Akademik, Laluan Kokurikulum, Info Utama, Info HEM dan Info Dasar untuk memaparkan maklumat-maklumat yang berkenaan dengan bahagian masing-masing. Melalui paparan ini, maklumat dan dasar dapat dibaca oleh semua warga sekolah termasuk guru, staf sokongan, murid-murid, ibubapa dan pelawat. Melalui sistem akses kendiri ini, dasar kementerian seperti PIPP, kurikulum, pentaksiran berasaskan sekolah, dasar kokurikulum, maklumat peperiksaan, bantuan-bantuan kerajaan, statistik sekolah dan kerjaya dapat dirujuk dengan kerap dan mudah.

4.2 SJM Sekolah Pilihan Saya
Masalah disiplin jika tidak ditangani dengan berkesan boleh menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan pendidikan di sekolah. Sekolah yang mempunyai banyak masalah disiplin murid bukan sahaja mengalami pembaziran dari segi kos dan masa. Banyak masalah disiplin seperti vandalisme dan kerosakan harta benda secara sengaja adalah manifestasi dari perasaan benci atau ketidakpuasan kepada sekolah. Sekiranya kita dapat wujudkan satu iklim sekolah di mana emosi negatif murid dapat dikurangkan, maka masalah disiplin dapat dikurangkan. Penggunaan tagline 'SJM Sekolah Pilihan Saya' merupakan satu usaha komprehensif untuk mewujudkan suasana sekolah yang kondusif, berteraskan khidmat penyayang supaya murid bergembira datang ke sekolah dan ibubapa yakin kepada sekolah. Konsep sekolah penyayang adalah berasaskan kepada pegangan (Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Wawasan Pendidikan - Agenda Pengisian) :
If a child lives with acceptance and friendship,
He learns to find love in the world.
Berikut adalah beberapa amalan atau program yang menjurus ke arah membudayakan 'SJM Sekolah Pilihan Saya'.

4.2.1 Persekitaran Yang Bersih, Ceria, Selamat Dan Bermaklumat
Sedikit kerosakan (atau kekotoran) jika tidak dibetulkan akan memberi mesej pentadbiran tidak prihatin dan kerosakan yang lebih besar akan berlaku dengan cepat (Theory of Broken Windows). Oleh itu usaha untuk membaiki kerosakan berlaku dengan cepat, walaupun sekeping kaca tingkap yang dipecahkan atau sehelai poster yang dikoyakkan. Kerosakan dalam penutup longkang, bumbung, astaka, tandas dan pintu bilik darjah dibetulkan dengan cepat untuk memberi mesej pihak sekolah mementingkan keselesaan dan keselamatan murid-murid.

4.2.2 Komunikasi Dan Sumbangan
Komunikasi dua hala guru, pentadbir dengan murid sangat penting. Murid-murid perlu berasa diiktiraf dan dihargai. Semangat kekitaan serta cinta kepada sekolah dapat disemai melalui perjumpaan yang tidak formal dalam keadaan yang selesa dan mesra. Dalam kes salahlaku disiplin murid, proses melaksanakan hukuman mesti bersama dengan komunikasi yang berunsur ajaran dan pemulihan. Komunikasi dua hala telah menghasilkan kesan yang positif ke arah mencapai 'SJM Sekolah Pilihan Saya'. Namun demikian pihak pengurusan perlu mengingatkan murid-murid bahawa kemesraan tidak bermaksud mengetepikan nilai-nilai murni seperti memberi salam dan menghormati guru. Untuk membolehkan semua murid menunjukkan bakat mereka, murid-murid berprestasi akademik rendah diberi peluang menunjukkan kehandalan mereka dan memberi sumbangan kepada sekolah. Sebagai contoh, murid yang berprestasi rendah dari segi akademik dapat menyumbangkan hasil karya mereka dalam bentuk sepanduk atau poster sempena perayaan ulangtahun kemerdekaan untuk dipamerkan. Mesejnya ialah : Semua murid ada peranan; semua murid boleh menyumbang.

4.2.3 Layanan Segera Ibubapa/penjaga
Amalan semua boleh layan ibubapa amat penting untuk memikat hati mereka. Seorang guru yang ibubapa hendak jumpa mungkin sedang sibuk. Guru lain, pentadbir atau staf sokongan yang dapat melapangkan masa boleh melayan mereka sementara mereka menunggu. Sebuah bilik satu bay di sebelah Pejabat Urusan Hal Ehwal Murid telah dijadikan Pejabat PIBG di mana ibubapa yang menunggu diberi layanan dalam keadaan yang selesa. Layanan yang baik ini dapat merapatkan hubungan silaturahim antara sekolah dengan ibubapa/penjaga dan mengurangkan konflik yang mungkin berlaku disebabkan oleh masalah di antara anak dengan guru.

4.2.4 Success Story and Positive Imaging
Untuk menganjakkan kepada persepsi SJM sebuah sekolah cemerlang, maklumat kejayaan akademik, kokurikulum, kerjaya bekas murid sentiasa diumumkan dan dipaparkan. Pancaragam dipilih sebagai watak sekolah. Melalui sokongan padu pelbagai pihak termasuk bekas murid dan usaha gigih ahli-ahli, pancaragam sekolah telah memenangi beberapa pertandingan sehingga ke peringkat negeri. Persembahan pancaragam di majlis seperti Sukan, Hari Terbuka, Mesyuarat Agung Tahunan PIBG, Malam Kebudayaan, Hari Kantin dan Hari Kemerdekaan dapat memprojek satu imej yang positif tentang sekolah.



4.2.5 Latihan guru - Pengurusan gelagat murid
Usaha sekolah untuk membudayakan 'SJM Sekolah Pilihan Saya' telah menghasil berdasarkan pertunjuk seperti kadar vandalisme dan kerosakan yang berkurangan serta kes pergaduhan serius yang sangat minimum. Didapati ramai murid suka berada di sekolah untuk membuat ulangkaji atau bermesyuarat selepas waktu pelajaran. Guru-guru diberi latihan dalaman tentang kemahiran mengurus gelagat murid-murid yang berkebolehan dan dari latar belakang yang berlainan. Sistem mentor-mentee di mana setiap orang guru baru disandarkan kepada seorang guru senior yang dipilih oleh pihak pentadbiran berdasarkan kecemerlangan kerja beliau untuk mendapat on-the-job-training selama satu tahun. Melalui sistem ini, guru-guru baru dilatih dan dibiasakan dengan budaya kerja cemerlang pada pemulaan kerjaya mereka sebagai guru terlatih.

4.2.6 Visi sebagai daya penolak
Untuk menginstitusikan 'SJM Sekolah Pilihan Saya' sebagai satu daya penolak (driving force) untuk memajukan sekolah mengikut acuan sendiri, visi sekolah digubal semula menjadi 'SJM menjadi sekolah idaman masyarakat Kluang pada 2010'.

4.3 Program Murid, Oleh Murid, Untuk Murid
Bahagian Pengenalan Bab 5 PIPP menyatakan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, mampu berfikir secara kritis dan kreatif dan berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang sering berubah-ubah. Untuk membangunkan modal insan seperti yang dihasratkan oleh PIPP, satu panduan bertajuk 'Lima Elemen Utama Membangunkan Modal Insan' telah dirangkakan. Lima elemen diringkaskan dengan akronium PASTI yang mewakili pimpin, akhlak, sihat, trampil dan ilmu. Selanjutnya, PASTI telah dijadikan matlamat sekolah, iaitu, 'SJM berupaya melahirkan generasi yang berdaya kepimpinan tinggi, berakhlak mulia, sihat mental dan fizikal, berketrampilan dan berilmu pengetahuan (PASTI)'. Salah satu usaha yang berasaskan kepada konsep PASTI ialah 'Program Murid, Oleh Murid, Untuk Murid'.

'Program Murid, Oleh Murid, Untuk Murid' merupakan satu usaha sekolah untuk mengupayakan murid-murid untuk merancang dan menjalankan aktiviti kokurikulum dengan bimbingan, sokongan dan pemantauan guru-guru penasihat. Semua proses dari peringkat permohonan kebenaran, perancangan dan
perlaksanaan diuruskan oleh murid-murid sendiri. Unit Kokurikulum sekolah telah memberi kursus pada awal tahun ini kepada pemimpin-pemimpin murid berkenaan perancangan, penulisan surat permohonan rasmi, kertas kerja dan laporan, pengurusan kumpulan, membuat bajet dan ciri-ciri kepimpinan. Setakat ini beberapa aktiviti besar kokurikulum berasaskan amalan 'Program Murid, Oleh Murid, Untuk Murid' telah dijalankan dengan berjayanya. Aktiviti-aktiviti tersebut dijalankan di luar waktu pembelajaran dan murid-murid yang terlibat tidak dikecualikan daripada tugasan kurikulum yang mereka perlu memenuhi. Dalam situasi yang penuh dengan kekangan dan cabaran, murid-murid yang terlibat dapat dilatih kemahiran multitasking, berdikari, pengurusan masa, menyusun keutamaan dan meningkatkan ketrampilan mereka.

4.4 Let The Manager Manage; The Manager Must Manage
Sebagai usaha ke arah pengurusan berkualiti, akauntabiliti yang lebih tinggi dan pengupayaan (empowerment) yang lebih berkesan amalan Let The Manager Manage; The Manager Must Manage ditegaskan. Penstrukturan semula dan pengagihan pegawai dilakukan di unit-unit tertentu untuk meningkatkan tahap profesionalisme unit-unit berkenaan. Peranan ketua-ketua sebagai pengurus pertengahan dan pengurus unit-unit tertentu ditakrifkan dan dijelaskan. Setiap pengurus mesti bertanggungjawab dan mempunyai akauntabiliti terhadap unit yang diurus. Pengurusan strategik dan pelaksanaan tugas berdasarkan ciri SMART (Specific, Measurable, Achievable, Realistic and Timeliness) menjadi indikator prestasi utama pada setiap peringkat tugas itu. Pemantauan secara berterusan dibuat oleh pentadbir dari aspek kuantiti, kualiti dan ketepatan masa hasil kerja.

4.5 Aplikasi Strategik ICT Dalam Pengurusan
Selain PPSMI, terdapat beberapa aplikasi ICT dalam pengurusan di unit-unit yang berlainan, masing-masing mempunyai sistem dan perisian (software) untuk tujuan yang spesifik. Sebagai contoh, pejabat mempunyai SMPP/EMIS; Unit Peperiksaan mempunyai SAPHC, program jadual waktu; Unit HEM mempunyai e-SSDM dan SMM; Unit Kokurikulum mempunyai sistem rekod kehadiran murid dan permarkahan kokurikulum; Unit Maklumat Sekolah mempunyai rekod profil sekolah dan Unit Media mempunyai rekod persejarahan sekolah.
Pembentukan satu sistem rangkaian sistem mengaplikasi ICT yang lebih strategik untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan merupakan satu cabaran yang sangat besar tetapi perlu. Semua yang terlibat perlu bertanggungjawab untuk memastikan kejituan dan integriti data. Sesi penerangan tentang kepentingan data yang jitu untuk perancangan di peringkat kementerian dibuat. Prosedur kerja berjadual dari peringkat pengumpulan data mentah sehingga ke peringkat penghantaran data ke pihak atasan disediakan. Penyelarasan, pemantauan dan penyemakan data-data yang tidak betul dibuat dengan rapi dan pegawai yang melakukan kesilapan dirujuk. Maklumat sepunya yang dapat dikongsi dikenalpasti untuk mengurangkan kerja ulangan. Jika perlu, kepakaran dari daerah atau negeri dirujuk untuk mendapat latihan dan penjelasan yang cukup tentang pengoperasian sistem berkenaan. Penegasan diberi untuk memanfaatkan maklumat yang ada dengan sepenuhnya dan bukan setakat dibuat untuk dihantar. Maklumat tentang pendapatan keluarga (SMM) dapat membantu sekolah mengenalpasti murid-murid yang miskin; e-SSDM memudahkan perbincangan dengan ibubapa dengan mempamerkan rekod-rekod salahlaku anak-anak mereka.

4.6 Audit Akademik
Audit akademik merupakan satu amalan untuk membudayakan perancangan program akademik berdasarkan analisis data dan maklumat ujian dan peperiksaan. Di sekolah, terdapat pelbagai jenis program kecemerlangan akademik yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kecemerlangan Akademik dan Unit Bimbingan dan Kaunseling. Melalui kaedah audit akademik, perancangan menjadi lebih berstrategik dan dapat memberi impak yang lebih besar kepada peningkatan prestasi akademik.

4.6.1 Memanfaatkan SAPHC
Adalah satu pembaziran yang besar jika data dan maklumat dari SAPHC (Sistem Analisis Peperiksaan dengan Headcount) tidak dimanfaatkan sepenuhnya dalam perancangan program pengukuhan atau pemulihan akademik. Sebagai contoh pengauditan prestasi akademik dengan bantuan SAPHC dapat mengenalpasti murid-murid yang gagal satu mata pelajaran sahaja (near miss); murid-murid yang tidak menguasai mata pelajaran PPSMI; murid-murid tingkatan 4 dan 5 yang mendapat markah Bahasa Malaysia dalam julat markah 0-19, 20-29, 30-39 dan 40-49 untuk tindakan susulan panitia-panitia dan guru-guru yang berkenaan.

4.6.2 Graf Prestasi Diri
Selain itu, sistem audit akademik kendiri diperkenalkan dalam bentuk buku Audit Akademik Kendiri - Graf Prestasi Diri (AAK-GPD). Murid-murid melorekkan carta palang untuk markah setiap ujian atau peperiksaan dalaman mereka. Tujuannya adalah untuk mewujudkan satu rekod keputusan secara grafik untuk perbandingan dan penyemakan pola prestasi sendiri. Kaedah ini dapat meningkatkan akauntabiliti murid tentang prestasi diri mereka. AAK-GPD juga digunakan sebagai asas perbincangan dengan ibubapa pada hari terbuka.

4.6.3 Perfect Score
Untuk menghasilkan critical mass murid cemerlang yang mencukupi, program Perfect Score diperkenalkan. Program ini menggalakkan persaingan dalam kalangan murid-murid berprestasi tinggi. Majlis anugerah Perfect Score dijalankan semasa perhimpunan dan murid yang mencapai prestasi cemerlang (Tingkatan Peralihan, 1, 2 dan 3 -- 9 A dan ke atas; Tingkatan 4 dan 5 - 10 A dan ke atas). Anugerah ini adalah dalam bentuk lencana yang boleh dipakai. Sejak memulakan program ini pada tahun 2007, bilangan murid yang layak menerima perfect score semakin meningkat dan semoga persaingan sihat yang dicetuskan oleh program ini dapat melonjakkan pencapaian akademik sekolah.

5.0 PENUTUP

Dalam zaman yang dicirikan dengan kadar perubahan yang bereksponential ini, amalan rutin dan konvensional sahaja tidak mencukupi jika agenda nasional hendak dipenuhi. Daya yang 'meratakan' dunia (The 'flattening' force of the world) dibawa oleh globalisasi telah memberi erti yang baru kepada pendidikan di mana perubahan dan inovasi menjadi kata-kata kunci yang utama. Pembangunan modal insan berminda kelas pertama dari segi keupayaan dan intelek perlu usaha pelbagai perspektif dan dinamik. Sistem penyampaian perkhidmatan itu sendirinya adalah satu pembolehubah dalam dinamisme ini. Usaha yang berterusan untuk memurnikan pelbagai aspek amalan pengurusan di sekolah amat diperlukan demi untuk mencapai kecekapan dan keberkesanan pengurusan pendidikan yang lebih tinggi lagi. Semua pihak yang terlibat harus sedar satu hakikat, iaitu : Amalan yang terbaik semalam tidak semestinya sesuai untuk hari ini dan amalan terbaik hari ini tidak semestinya sesuai lagi untuk hari esok.

SENARAI RUJUKAN

Alimuddin Mohd. Dom. 2006, Kepimpinan Instruksional. Jemaah Nazir Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Jabatan Perdana Menteri. 1 Julai 1994. Panduan Melaksanakan Sistem Pemulihan Perkhidmatan, Surat Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 1/1994.

Jabatan Perdana Menteri. 2006. Rancangan Malaysia Ke-9 2006-2010, Bab 26.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2007. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.

Thomas L. Friedman. 2005. The World Is Flat, The Globalised World In The Twenty-first Century. London : Penguin Group.

W. Chan Kim and Renee Mauborgne. 2005. Blue Ocean Strategy. United States : Harvard Business School Publishing Corp.

Wan Mohd Zahid Mond Noordin. 1994. Wawasan Pendidikan Agenda Pengisian. Kuala Lumpur : Nurin Enterprise.

Lampiran
1. Visi Sekolah

2. SJM : Sekolah Pilihan Saya


3. Konsep PASTI


4. Graf Prestasi Kendiri

5. Perfect Score


6. Sekolah Bermaklumat

7. Latihan Dalam Perkhidmatan

8. Program Murid, Oleh Murid, Untuk Murid

No comments:

Post a Comment