MENGAPLIKASI TEORI 'BROKEN WINDOWS' DI SEKOLAH
Oleh
YEW KOK LEH
PENGETUA KANAN
SMK JALAN MENGKIBOL, KLUANG
Sedikit Berkenaan Teori 'Broken Window'
Teori 'Broken Windows' atau 'The Broken Windows theory' adalah hasil kajian James Q. Wilson (Shattuck Professor of Government at Havard) dan George L. Kelling (research fellow at the John F Kennedy School of Government, Havard). Teori ini menyatakan bahawa kejadian jenayah adalah kesan yang tidak dapat dielakkan akibat daripada keadaan yang celaru* (disorder). Jika sekeping kaca tingkap yang pecah dibiarkan dalam keadaan begitu, orang yang lalu akan membuat kesimpulan bahawa tiada sesiapa peduli atau tiada orang bertanggungjawab tentang perkara itu. Kemungkinan besar, lebih banyak tingkap akan dipecahkan tidak lama lagi. Jika berterusan, keadaan anarki ini boleh merebak ke kawasan lain.
Adalah jelas bahawa ahli-ahli komuniti secara umumnya berasa takut dan terancam di persekitaran yang penuh dengan jenayah. Tetapi, mengikut Wilson dan Kelling, ramai orang lepas pandang satu sumber ancaman yang lain - gangguan oleh keadaan persekitaran yang celaru (disorderly). Sebagai contoh, satu masa dahulu ancaman utama penduduk perumahan awam di Boston bukan dari kes jenayah tetapi keadaan yang celaru dan kekurangan disiplin (disorderliness and incivility). Persekitaran yang penuh dengan kerosakan dan grafiti tanpa dikawal boleh mewujudkan ketegangan minda dan ketidakpastian sesiapa yang berada di situ tentang kemungkinan diserang oleh mana-mana pihak pada bila-bila masa. Kecelaruan dan kejadian jenayah mempunyai hubungan yang rapat. Ahli psikologi sosial dan pihak polis mempunyai pendapat bahawa jika sekeping kaca tingkap sebuah bangunan itu pecah dan dibiarkan dalam keadaan begitu, kaca tingkap-tingkap yang lain akan dipecahkan tidak lama kemudian.
Sehubungan itu, untuk mengekalkan ketenteraman, keadaan persekitaran yang teratur(orderly) adalah amat penting - komuniti tanpa tingkap yang pecah. Dalam konteks ini 'tingkap pecah' juga mewakili kerosakan atau kecelaruan yang kecil seperti grafiti atau contengan di atas dinding, sampah di sana sini, tempatan paparan maklumat yang terbiar dan lain-lain.
Mengaplikasi Teori 'Broken Windows' Di Sekolah
Sekolah ialah sebuah komuniti mini dan merupakan satu subset kepada komuniti masyarakat yang lebih besar. Keadaan di dalam sekolah boleh mempengaruhi keadaan komuniti masyarakat secara umum kerana apabila murid-murid meninggalkan bangku sekolah mereka akan masuk ke komuniti yang besar itu. Walaupun masalah disiplin di kalangan murid sekolah secara umumnya adalah kurang serius berbanding dengan kejadian jenayah di masyarakat umum, namun demikian segala kejadian yang serius bermula dengan kejadian yang lebih kecil. Banyak penyebab masalah di komuniti besar juga menjadi penyebab masalah di sekolah. Masalah vandalisme, kerosakan yang disengajakan dan kecelaruan seperti dibincangkan oleh James Q. Wilson dan George L. Kelling juga boleh dicermin di dalam sekolah. Oleh yang demikian, dalam usaha menangani masalah sekolah yang serupa ini teori 'Broken Windows' boleh dijadikan rujukan yang praktikal dan amalan yang berkesan oleh pihak kepimpinan serta semua warga sekolah. Dengan kata lain, kajian James Q. Wilson dan George L. Kelling adalah lebih tertumpu kepada menangani masalah di komuniti yang besar seperti sebuah bandar, implikasi dan aplikasinya di sekolah tetap relevan.
Sekolah merupakan tempat yang murid-murid menghabiskan sebahagian besar masa mereka hampir setiap hari. Majoriti murid akan berasa bangga jika sekolah mereka berada dalam keadaan yang teratur (orderly), ceria dan selamat. Namun demikian semangat kekitaan dan cinta kepada sekolah perlu dipupuk. Sebaliknya akan berlaku jika pihak kepimpinan sekolah memberi mesej yang bercanggahan. (Dalam artikel ini, saya lebih suka menggunakan perkataan 'kepimpinan' daripada 'pengurusan' atau 'pentadbiran' sebab penyelesaian masalah yang berkaitan dengan kecelaruan di sekolah lebih bergantung kepada kepimpinan daripada pentadbiran atau pengurusan. Banyak perkara yang terlibat memerlukan usaha yang lebih daripada setakat menterjemahan arahan atau surat pekeliling dari pihak atasan.)
Insan-insan yang muda sangat peka dan mempunyai kemampuan untuk menilai kepimpinan sekolah melalui kaca mata mereka. Kecelaruan (disorderliness) seperti kaca-kaca tingkap pecah yang terbiar tanpa gantian, contengan-contengan di dinding, papan-papan notis yang tidak terurus dan sampah-sarap di merata-rata tempat akan memberi satu gambaran negatif di kalangan murid tentang kepimpinan sekolah - kurang berperihatin, kurang minat dan kurang ambil peduli. Dalam situasi ini, jika ada teguran yang berkaitan daripada guru atau pihak pentadbir dalam majlis seperti perhimpunan, murid-murid tidak akan mengambil serius tentang kerana mereka menganggap teguran itu sebagai rutin (lip-service). Jika kita meneliti teori 'Broken Windows' dan melihat dalam konteks sekolah, keadaan kecelaruan di sekolah seperti kerosakan dan vandalisme akan meningkat jika pihak kepimpinan tidak mengambil langkah segera untuk membetulkan keadaan dengan cepat. Perkara yang kecil seperti sekeping kaca tingkap yang terbiar berkemungkinan besar menjadi penyebab kepada kerosakan yang lebih besar apabila komuniti (termasuk murid, guru dan staf sokongan) hilang keyakinan, perasaan kekitaan dan kebangaan terhadap sekolah sendiri. Begitu juga, masalah disiplin yang kecil kalau dibiar tanpa tindakan untuk membaikpulih akan berjangkit menjadi fenomena yang serius.
Kepimpinan di sini bukan terhad kepada kepimpinan pengetua(guru besar) atau penolong kanan sahaja. Pada peringkat makro kepimpinan mungkin bermaksudkan kepimpinan pengetua(guru besar) dan penolong kanan. Tetapi pada peringkat pertengahan dan mikro seperti di kelas, kepimpinan boleh bermaksud kepimpinan ketua bidang, ketua panitia, ketua unit dan guru kelas. Pada peringkat kelas umpamanya, keceriaan kelas dan tahap intelek murid-murid di dalam kelas itu tidak mempunyai korelasi yang jelas kerana usaha untuk menjadikan sebuah kelas itu ceria, bersih dan selamat tidak memerlukan tahap intelek yang sangat tinggi. Yang lebih penting lagi ialah kepimpinan guru kelas itu. Ada guru kelas yang dapat memimpin anak-anak murid dengan berjaya dalam hal mewujudkan suasana teratur (orderly) tidak kira kelas yang mana dipimpin oleh beliau. Seorang guru kelas yang tidak ambil perhatian tentang keadaan kelas, biarkan papan notis dalam keadaan tidak teratur, kotor, lantai yang dilonggok-longgok dengan sampah dan kaca tingkap yang pecah akan memberi mesej bahawa kecelaruan adalah amalan biasa dan boleh diterima. Selanjutnya, teori 'Broken Windows' boleh diamalkan di peringkat panitia, bidang dan unit-unit di sekolah berkenaan dalam urusan paparan maklumat, pembelian dan penyimpanan stok, penyediaan dan pengendalian program-program sama ada akademik, kokurikulum atau pun hal-ehwal murid.
Oleh yang demikian, setiap orang pemimpin di sekolah dari pengetua ke penolong kanan ke ketua-ketua unit dan guru kelas perlu membuat imbasan persekitaran (environmental scanning) - semakin tinggi sesuatu jawatan semakin luas persekitaran yang perlu diimbas. Semua pemimpin mesti peka terhadap 'tingkap pecah yang terbiar' (unattended broken windows) kerana sebarang kecelaruan yang kecil jika dibiar akan berjangkit menjadi satu masalah yang besar.
* Perkataan 'disorder' dalam artikel ini menerangkan sesuatu keadaan yang tidak atur. Walaupun perkataan 'celaru' digunakan sebagai terjemahan, namun begitu tetap ada perbezaan dalam erti sebenar antara dua perkataan ini. Oleh yang demikian, saya menulis ayat atau sebahagian daripada ayat yang asal supaya mesej yang asal dapat difahami dalam konteks yang sebenar.
Rujukan
James Q. Wilson and George L. Kelling. Broken Windows. http://socsci.colorado.edu/~mciverj/2481_BrokenWindows.PDF
Malcom Gladwell. 2000. The Tipping Point. Little, Brown and Company, U.S.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment